Muzium Warisan dan Sejarah Naning mula dibuka kepada umum pada 18 Mei 2017 yang lalu. Pembukaan muzium ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan lebih-lebih lagi buat warga Taboh Naning dan sekitarnya untuk menikmati pembangunan produk pelancongan di sini.
Dengan adanya produk pelancongan seperti ini, sudah pastinya Taboh Naning tidak sunyi dari didatangi oleh pelancong dari dalam dan luar negeri.
Justeru, komuniti setempat perlu mengambil peluang untuk turut memajukan diri contohnya dengan menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan seperti kraftangan, produk tempatan, inap desa, kedai makan mahupun restoran dan sebagainya.
Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat seterusnya kesejahteraan diri dan keluarga terus terjamin dengan adanya peluang-peluang menjana pendapatan.
Antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk memberikan kesedaran dan memupuk minat masyarakat untuk memelihara warisan.
Dengan adanya program ini, diharapkan pemeliharaan warisan terutamanya warisan tidak ketara dapat dilaksanakan seterusnya dikekalkan untuk tatapan masyarakat akan datang.